KUALA NERUS – Juara Piala FAM 2008, T-Team tampak semakin yakin untuk mengharungi musim baru mereka dalam saingan Liga Perdana yang dijadualkan bermula pada 9 Januari, tahun depan.
Penolong pengurusnya, Rosdi Awang berkata, keyakinan itu hadir selepas meneliti kejayaan sulung pasukan itu dalam Kejohanan Bola Sepak Pra-Musim 2008/09 yang berlangsung pada bulan lalu.
“Meskipun dianggap sekadar sesi pemanas badan, T-Team mampu beraksi cemerlang dalam kejohanan ini sehingga mampu bergelar juara mengalahkan pasukan ternama seperti Selangor dan KL Plus.
“Kejayaan ini sedikit sebanyak menyuntik semangat dan motivasi semua pemain untuk mengekalkan momentum ini menerusi musim baru mereka dalam saingan Liga Perdana, tahun depan,” katanya.
Rosdi berkata demikian kepada pemberita pada majlis meraikan kejayaan pemain T-Team di Gerbang Sukan Negeri, Gong Badak.
Turut hadir, ketua jurulatihnya, Che Ku Marzuki Che Ku Mohd Nor dan barisan pemain T-Team kecuali Hairuddin Omar yang masih menjalani latihan bersama skuad kebangsaan untuk menghadapi Piala Suzuki AFF di Phuket, Thailand.
Mengulas lanjut, Rosdi berkata, dengan keserasian dan persefahaman yang mantap antara pemain lama dan baru sekarang, dia yakin sasaran T-Team untuk menyertai saingan Liga Super pada musim 2010 kelak akan menjadi kenyataan dan akan mengukir kejayaan.
“Biarpun terdapat jurang pengalaman yang agak luas antara pemain lama dan baru pasukan ini, semua pemain tetap berjaya mempamerkan keserasian dan persefahaman yang cukup baik.”
“Saya harap kelebihan ini akan menjadi ramuan terbaik T-Team di bawah bimbingan Che Ku Marzuki untuk mengekalkan rentak cemerlang mereka dalam Liga Perdana nanti, ia sekali gus akan merealisasikan sasaran menyertai Liga Super pada musim 2010,” katanya.
Dalam pada itu, Rosdi memberitahu, semua perlawanan membabitkan pasukan ini mulai Januari tahun depan akan berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.
“Kami akan melantik ejen di seluruh Daerah Terengganu sedikit masa lagi untuk menjual tiket perlawanan yang ditetapkan pada kadar RM10 bagi orang dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak,” katanya.
Label: Sinar, T-Team