Setiausaha Agung PBSNT, Abdullah Salleh berkata, antara pendekatan baru yang akan digunakan bagi mengelakkan aktiviti negatif itu menular ke dalam pasukan negeri ini adalah mengadakan sesi ceramah antara pemain dengan Badan Pencegah Rasuah (BPR).
“Sudah tiba masanya semua pemain diberi pendedahan yang lebih mendalam mengenai bentuk dan bahaya rasuah bola sepak ini, tidak kiralah sama ada dari segi kewangan ataupun imbuhan lain.
“Justeru, mulai musim depan, PBSNT akan memperkenalkan sesi ceramah antara pemain dengan pihak BPR sebagai langkah pencegahan awal supaya masalah itu tidak menular kepada pemain negeri ini,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.
Abdullah diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzudin Ahmad kelmarin bahawa telah wujud tanda awal gejala rasuah berlaku dalam kalangan pemain walaupun Liga Malaysia 2009 belum bermula.
Menurut Abdullah, dorongan melakukan rasuah berpunca daripada sikap segelintir pemain yang sukar mengawal ‘nafsu serakah’ mereka, bukannya kerana menerima bayaran gaji rendah ataupun kebajikan mereka terabai.
“Ketika menandatangani kontrak bermain, mereka telah menandatangani aku janji untuk tidak terlibat dalam aktiviti rasuah, namun seperti yang digembar-gemburkan sekarang, masih ada segelintir pemain yang sanggup melanggar perjanjian itu,” katanya.
Menurutnya, PBSNT memberi amaran keras kepada pemain yang berhasrat mengatur keputusan perlawanan pasukan negeri ini musim depan supaya bersedia berdepan dengan tindakan tegas .
“PBSNT sama sekali tidak akan membiarkan pemain seperti ini berada dalam pasukan Terengganu kerana ia hanya membawa ‘virus’ yang akan menjangkiti pemain lain pula pada masa akan datang.
“Hukuman paling sesuai diterima mereka jika didapati bersalah kerana terlibat dengan rasuah tentunya tindakan penyingkiran serta-merta dan ‘digam’ daripada menyertai pasukan negeri, ” katanya.
:Negeri ini pernah dikejutkan dengan dakwaan ada pemainnya terlibat mengatur keputusan perlawanan beberapa tahun lepas, malah sudah ada beberapa pemain dikenakan tindakan penyingkiran.
Label: Sinar, Terengganu
PBSNT beri amaran keras
inam kitites at 3:12 PTG