Prestasi pemain kini dikatakan tidak sehebat pemain veteran. Pantang dicabar, pemain bermati-matian mempertahankan benteng daripada dicerobohi pihak lawan. Semangat kenegerian juga cukup tinggi sehingga sanggup mengetepikan ‘habuan besar’ yang ditawar negeri lain.
Bekas pemain Kedah era 80-an yang juga bekas jurulatih Piala Presiden Kedah tahun 2002, Abdullah Hassan berkata, bukan mudah untuk mengekalkan prestasi sesebuah pasukan terutama menjaga kualiti pemainnya.
“Pasukan negeri kini tiada barisan pelapis yang berkaliber, sebabnya di sini tidak ada liga tempatan diadakan. Bakat muda hanya bermain sendirian atau memilih untuk berhijrah demi mengutip pengalaman,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan PKNK di padang awam, Alor Semadom, dekat sini, kelmarin.
“Saya cadangkan agar diwujudkan Liga Bola Sepak Kedah untuk mencungkil bakat baru dari seluruh pelosok negeri ini.
“Sekitar tahun 2003 dahulu, banyak liga diadakan terutama antara daerah. Sejak 2004 hingga kini, memang tiada langsung liga diadakan sebagai medan pencarian pemain pelapis,” katanya.
Untuk meningkatkan kualiti pemain pula, Abdullah menyarankan agar pemilihan jurulatih bola sepak di peringkat sekolah dilakukan secara terperinci.
“Jika boleh biarlah jurulatih peringkat sekolah memiliki lesen kejurulatihan dari FAM, sekurang-kurangnya lesen C, barulah boleh kekalkan tahap kualiti pemain,” katanya.
Pemain juga dikatakan kurang kemahiran asas berbanding pemain era 80-an dan 90-an. Malah lebih mengejar glamor dan kebendaan berbanding semangat kenegerian.
“Pemain juga perlu ubah persepsi mereka. Tumpuan perlu fokus selain komited dengan kerjaya sebagai pemain bola sepak,” tegasnya.
Abdullah, ketika zaman remajanya pernah bermain untuk pasukan elit terkenal, Kelab Sultan Sulaiman, Selangor (KSSS) yang melahirkan jaguh ternama bola sepak tanah air.
Pada perlawanan persahabatan itu, pasukan veteran Kedah dan pasukan PKNK berkesudahan dengan seri, 2-2.
Antara pemain yang beraksi ialah pemain era 80-an, Syed Alwi, Shafie Sulaiman dan Shaharudin Saari. Tidak ketinggalan pemain era 90-an, Khatul Anuar dan Shawil Azmi.
Sinar Harian
Label: Lain-Lain
Kedah perlu ada liga sendiri
inam kitites at 3:50 PTG