28.11.08
KLANG – Pasukan Bola Sepak Meru Barat (Meba) FC meneruskan tradisi melatih bakat-bakat baru dalam arena sukan bola sepak terutama melibatkan golongan remaja di sekitar Meru, Klang.

Setiausaha Meba FC, Mohd Jafari Sahar menjelaskan sudah menjadi tradisi sejak 10 tahun dahulu, golongan remaja dan pemuda di sekitar Meru berlatih dan menyertai perlawanan melalui Meba FC.

“Pemain-pemain akan berlatih bersama-sama dan menyertai pertandingan mana-mana perlawanan dengan membawa nama kampung ini.

“Walaupun dianggap pasukan kampung, namun kami berbangga membawa nama Meba FC ini sehingga ia dikenali ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Pertandingan Empat Penjuru anjuran Akademi Bola Sepak Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) di Stadium Mini Shah Alam, dekat sini.

Menurutnya, Meba FC kini berada di bawah pengurusan baru yang dipengerusikan Mustafa Md Din, di mana struktur latihannya lebih tersusun dengan mewujudkan beberapa kategori umur untuk dilatih dan juga menyertai pertandingan.

“Kini pemain-pemain yang ada dibentuk mengikut kategori umur bawah 12 tahun dan juga 15 tahun untuk diberikan latihan selain dihantar menyertai mana-mana pertandingan bola sepak di daerah ini.

“Minggu ini kami akan turut menyertai pertandingan anjuran Akademi Bola Sepak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan saya mensasarkan pasukan ini mara ke peringkat separuh akhir dalam kategori bawah 12 tahun dan 15 tahun,” katanya.

Beliau berkata, selain daripada itu, pasukan Meba FC yang menggunakan nama pasukan Kelisa turut beraksi dalam perlawanan suku akhir Liga Persatuan Bola Sepak Selangor.

“Ahad ini pasukan kami akan menentang pasukan Samudera FC di peringkat suku akhir Liga Divisyen 1 Liga FAS di padang RRI di Sungai Buloh. Jadi saya mengharapkan pemain-pemain mampu memenangi perlawanan dan mara ke peringkat seterusnya.

“Pencapaian ini membuktikan pasukan kampung mampu untuk pergi jauh jika ada kesungguhan malah beberapa pemain kami juga berjaya memikat beberapa pasukan bola sepak yang bersaing dalam Liga Malaysia seperti pasukan Piala Presiden Proton FC ,” katanya.

Menurut Mohd Jafari, dengan kejayaan setakat ini, secara tidak langsung mencapai matlamat kami dalam menghasilkan pemain-pemain yang berbakat dan berpotensi pergi lebih jauh dalam arena sukan bola sepak.
Sinar Harian (sel&kl)

Label: ,


inam kitites at 2:05 PTG |

0 Comments: