28.11.08
SHAH ALAM – Derita adik Khayrin Qistina Shahril, 3, terus mendapat perhatian apabila Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) tampil membantu beliau melalui perlawanan bola sepak amal kedua yang akan berlangsung Sabtu ini.

Qistina merupakan anak bekas pemain Selangor dan Kebangsaan, Shahril Arsat sebelum ini turut mendapat bantuan melalui perlawanan amal di antara skuad Selangor dan Kelantan pada pusingan kedua suku akhir Piala Emas Raja-Raja yang berlangsung baru-baru ini.

Qistina yang menghidapi penyakit jantung berlubang sejak lahir terus mendapat perhatian pelbagai pihak setelah Shahril dan isterinya Noraini Morat mewakili Yayasan Jantung Malaysia dalam program Sehati Berdansa baru-baru ini.

Menurut Pengurus FAS, Zakaria Ab. Rahim, perlawanan amal ini nanti bakal menyaksikan pemain veteran Selangor bawah 40 dan 90 tahun bakal berentap.

“Kita akan mengadakan perlawanan ini pada sebelah malam bermula jam 8.30 malam setelah mendapat kerjasama daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk menggunakan Stadium MBPJ tersebut secara percuma.

“Perlawanan ini juga turut diserikan dengan gandingan selebriti tanah air antaranya kumpulan DefGabC, Slam serta Yassin Senario yang turut bermain untuk pasukan veteran bawah 90 tahun,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Hotel Calton Holiday, di sini semalam.

Zakaria berkata, perlawanan ini juga turut mendapat kerjasama dan sumbangan daripada bekas Pengurus Selangor, Datuk Aini Mohd Taib yang sanggup turun padang untuk bersama-sama membantu meringankan beban yang ditanggung Shahril sekeluarga.

“Shahril memerlukan kos pembedahan melebihi RM30,000 jadi dengan bantuan yang FAS hulurkan ini sedikit sebanyak dapat meringankan bebannya dan membuka peluang kepada lebih ramai pihak lain tampil menghulurkan bantuan kepadanya nanti.

“Perlawanan ini tidak dikenakan sebarang bayaran, bagaimanapun kita akan menyediakan tabung untuk di sisi orang ramai sebelum, semasa dan selepas perlawanan,” katanya.

Beliau berharap semua pemain dan peminat Selangor di era 80-an dapat hadir menghulurkan sumbangan selain dapat beramah mesra dan melihat idola mereka dengan lebih dekat lagi.

Antara pemain bawah 40 tahun yang akan beraksi dalam perlawanan itu nanti termasuklah Shahril sendiri, Shahrin Majid, K Rajagopal, Azlisham Ibrahim, K Gunalan, P Maniam, Rusdi Suparman, Mubin Mokhtar dan Anuar Abu Bakar.

Manakala pemain bawah 90 tahun terdiri daripada Azlan Johar, P Somasundram, Khaider Buyong dan beberapa nama hebat era 80-an.
Sinar Harian (sel&kl)

Label: , ,


inam kitites at 2:04 PTG |

0 Comments: