KUANTAN - Pasukan PASDEC dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Singa Emas, kedua-duanya sama hebat, melahirkan keyakinan mereka untuk muncul juara dalam Liga Veteran 2008 tahun ini.
Kedua-dua pasukan bakal beraksi dalam final pada Ahad ini di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) Satu, bermula jam empat petang.
PASDEC, melayakkan diri ke final selepas mempamerkan aksi meyakinkan menundukkan pencabarnya, Anak Alam, 3-1 pada separuh akhir.
Manakala KRT Singa Emas menewaskan MPK dengan jaringan tipis, 2-1 di Padang MPK Satu di sini, kelmarin.
PASDEC, pasukan penganjur, semestinya ingin merangkul gelaran juara untuk menghilangkan kempunan selama ini, selepas beberapa kali mencuba, namun aksi mereka tersekat dan terpaksa akur dengan kehebatan pasukan lain.
Jurulatihnya, Ahmad Muda berkata, pasukannya bakal mempamerkan aksi sengit dan kental untuk final nanti.
“Kami ingin menebus kekecewaan lalu, kerana sebelum ini, tersungkur di peringkat separuh akhir tahun lepas, dan tahun sebelumnya hanya di suku akhir.
“Dengan khidmat bekas pemain negeri, seperti Azhar Kamaruddin, Rafik Jaafar, Kamaruddin Shaukar Tali dan beberapa nama lain, pastinya aksi sengit dan berkualiti dapat dipamerkan pada final nanti,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, Pengurus KRT Singa Emas, Kamarul Azlan Mohd Fati berkata, kejayaan pasukannya melayakkan diri ke final suatu kejayaan terbesar buat mereka setakat ini.
“Ini kali pertama melayakkan diri ke final dan pastinya, ia menaikkan momentum pemain untuk cuba membawa pulang piala liga dan mencatat sejarah manis buat pasukan ini,” katanya.
“Walaupun lawan dibarisi bintang dan bekas pemain negeri, kami tidak gentar untuk bersaing dan membuktikan kehebatan pasukan, dan syukur, kami tidak mengalami sebarang kecederaan serius.
“Cuma kami terpaksa kehilangan dua tunggak kerana komitmen mereka masing-masing tetapi kami akan cuba menggunakan khidmat pemain yang ada sebaik mungkin,” katanya.
PASDEC temu KRT Singa Emas
inam kitites at 2:01 PTG