12.1.09
KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) akan menghantar surat rayuan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), berhubung kemenangan percuma 3-0 yang diberikan kepada KL PLUS pada perlawanan pertama saingan Liga Super di sini Sabtu lalu.

Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa berkata, rayuan itu akan dihantar kepada FAM sebelum 21 Januari ini walaupun dilaporkan keputusan yang dibuat FAM itu muktamad.

Katanya, KAFA sebenarnya tidak bersalah dan memberi jaminan akan mematuhi segala arahan FAM demi masa depan sukan berkenaan selepas kajian mendalam dilakukan.

“Kita sebenarnya keliru kerana pada mulanya masih boleh membuat rayuan dalam tempoh tertentu tetapi kemudiannya dimaklumkan pula keputusan itu adalah muktamad.

“KAFA yakin FAM akan tetap melindungi kepentingan persatuan gabungannya selain mengharapkan rayuan ini nanti akan diperhalusi,’’ katanya pada sidang akhbar di Wisma KAFA di sini semalam.

Sabtu lalu, komisioner perlawanan pada mulanya memutuskan menunda perlawanan antara Kelantan dengan KL PLUS di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV keesokan hari kerana padang tidak mempunyai garisan.

Bagaimanapun, FAM memberikan kemenangan percuma itu ekoran alasan KAFA gagal menyediakan gelanggang perlawanan disebabkan keadaan padang becak dan teruk serta ditenggelami air akibat hujan lebat yang berlaku.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad turut mendedahkan selain padang becak, KAFA juga gagal menyediakan tempat untuk perlawanan itu seperti terkandung dalam undang-undang, hingga mengundang kemarahan penyokong Kelantan bertindak menghantar memorandum kepada FAM dua hari lalu, selain turut menggantung kain rentang tertera “FAM lawan kuasa Tuhan”.

Annuar mengakui, garisan memang tidak dibuat pada hari perlawanan memandangkan Kelantan ketika itu hujan lebat berlaku sejak tiga hari sebelum itu.

“Bagaimanapun, kita tetap melakukan usaha untuk memotong rumput walaupun dalam keadaan hujan namun garisan tetap tidak boleh dibuat kerana hujan lebat dan suasana banjir melanda Kelantan.

“Kita mempunyai bukti, pegawai FAM membuat keputusan sebelum perlawanan untuk menangguhkan perlawanan itu ke malam berikutnya dan perkara ini akan saya kemukakan sebagai bukti kepada FAM nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Annuar meminta penyokong tidak lagi membuat sebarang demonstrasi, menggantung sepanduk atau bantahan sebaliknya memberikan kesempatan kepada pengurusan KAFA menyelesaikan kemelut itu.

Label: , ,


inam kitites at 5:29 PTG |

0 Comments: