12.1.09
KUALA NERUS – Kami tidak bernasib baik, demikianlah ulasan yang diberikan pengurus T-Team, Datuk Abdul Rahin Mohd Said terhadap nasib yang dialami pasukannya ketika menentang Melaka pada perlawanan sulung Liga Perdana, malam kelmarin.

Pada aksi perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, itu, T-Team hanya mampu berkongsi satu mata dengan pasukan pelawat itu selepas terikat dengan keputusan seri tanpa jaringan.

Menurut Abdul Rahin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, memang dia berasa sedikit agak kecewa dengan keputusan berkenaan, lebih-lebih lagi selepas pasukannya memperoleh sehingga tujuh peluang bagi mencipta jaringan.:

“Kami memang tidak bernasib baik bagi meraih kemenangan kali ini selepas hampir tujuh peluang yang dicipta pemain gagal diterjemahkan menerusi jaringan sebenar.

“Jika diikutkan rasa kecewa memanglah saya berasa sedikit kecewa. Sementelahan pula, kami beraksi di gelanggang sendiri namun dalam bola sepak, pelbagai keputusan pun boleh berlaku,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.:

Katanya, dia mengakui barisan terbaik pasukannya agak pincang dalam perlawanan berkenaan dengan ketiadaan dua tonggak pemain utama mereka pada bahagian pertahanan dan serangan.:

“Ketua pasukan kami, Rosdi Talib yang juga penyerang utama terpaksa direhatkan dalam perlawanan ini kerana masih belum sembuh sepenuhnya daripada kecederaan yang dialaminya.:

“Begitu juga dengan pemain bek kami, Mohd Norfadzly Alias yang masih ditimpa kecederaan. Situasi ini sedikit sebanyak merencatkan strategi yang kami atur menjelang pertemuan sulung ini,” katanya.

Namun, dia yakin keadaan ini akan berubah menjadi lebih baik pada perlawanan kedua mereka menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Selayang, Kuala Lumpur, Isnin ini.

“Saya difahamkan oleh jurulatih bahawa kedua-dua pemain yang cedera ini akan dapat diturunkan pada perlawanan itu nanti. Saya fikir berita gembira ini akan mengubah persembahan sebenar T-Team kelak,” katanya.

Label: ,


inam kitites at 5:27 PTG |

0 Comments: