12.1.09
TAMAN BUNGA RAYA – Apartmen Anggerik menebus kekecewaan tewas 2-3 kepada Apartmen Kenanga minggu lalu dengan mengalahkan Apartmen Mawar 2-0, kelmarin.

Apartmen Anggerik dilihat lebih banyak menguasai permainan melalui gerakan-gerakan cantik pemain tengah pasukan dan hasilnya berjaya memperoleh dua gol di separuh masa.

Sebaik separuh masa kedua bermula, pasukan Apartmen Mawar melakukan beberapa pertukaran pemain bagi menguatkan barisan serangan, namun masih gagal menembusi penjaga gol Apartmen Anggerik yang beraksi cemerlang.

Dalam usaha mencari gol dan menahan asakan pihak lawan, empat pemain Apartmen Mawar dilayangkan kad kuning kerana mengasari pemain lawan.

Hujan lebat pada separuh masa kedua tidak menghalang pemain untuk beraksi, namun kedua-dua pasukan bermain dengan lebih berhati-hati bagi mengelakkan kecederaan serius berlaku.

Pengurus Apartmen Anggerik, Azemi Aziz berkata, beliau amat berpuas hati terhadap mutu permainan pasukan Apartmen Anggerik.

“Pemain-pemain bermain dengan baik dan menunjukkan kesungguhan untuk mencatat kemenangan setelah tewas minggu lalu, hasilnya kami berjaya mencatat kemenangan hari ini.

“Apartmen Anggerik kini menambah tiga mata untuk menduduki carta teratas kejohanan walaupun hanya berbeza jaringan dengan pasukan di kedudukan kedua, Apartmen Kenanga,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kelab Bola Sepak Taman Bunga Raya, Shahril Anuar Othman memuji penonton-penonton yang semakin ramai hadir menyaksikan liga tersebut.

“Walaupun hujan lebat pada separuh masa kedua perlawanan, namun penonton masih setia menunggu menyaksikan kedua-dua pasukan beraksi,” katanya.

Label:


inam kitites at 5:25 PTG |

0 Comments: