CHERAS – Akademi Bola Sepak YFA Bintang Muda yang berjaya melahirkan beberapa pemain untuk pasukan bola sepak Kuala Lumpur setiap tahun berharap agar permohonan mereka untuk menggunakan padang daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diluluskan.
Pengarah Teknikal kelab tersebut, N Radhakrishnan berkata, permohonan ini dibuat bagi memudahkan pihaknya menjalankan sesi latihan menggunakan padang Ulu di Pudu bagi mencari bakat-bakat baru untuk pasukan Kuala Lumpur.
“Setakat ini saya sudah menghantar beberapa permohonan menjadikan padang tersebut sebagai padang latihan pemain akademi saya di Kuala Lumpur kerana saya merancang untuk melatih pemain di sebuah pusat.
“Selain itu, dengan kebenaran tersebut, saya yakin dapat menghasilkan lebih ramai pemain berbakat dan berpotensi untuk menjalani pemilihan bersama pemain pasukan Kuala Lumpur,” katanya.
Menurutnya, setiap tahun pemain dari akademi tersebut berjaya mewakili pasukan Kuala Lumpur untuk Piala Presiden dan piala-piala lain.
“Saya mendapat kerjasama dari Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang membenarkan kami menggunakan padang awam berhampiran bangunan mereka di Pandan Jaya, selain turut menyediakan kemudahan pengangkutan setiap kali kami menyertai pertandingan.
“Ini kerana kebanyakan pemain datangnya dari komuniti di sekitar Ampang dan juga Kuala Lumpur yang menyertai latihan di akademi ini,” katanya.
Radhakrishnan berkata, YFA Bintang Muda turut bekerjasama dengan pihak Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) dalam menyediakan latihan untuk pemain.
“Minggu lalu juga kami berjaya membuka pusat latihan di kawasan Bukit Beruntung dan mendapat sambutan baik kanak-kanak di sana.
“Saya berharap selepas ini lebih ramai pemain berusia 6 hingga 16 tahun hadir menyertai latihan di Hulu Selangor kerana selain berlatih mempelajari ilmu bola sepak, mereka juga berpeluang menyertai latihan.
Beliau juga meminta kepada mereka yang berminat untuk menjadi jurulatih hadir ke tempat latihan mereka atau menghubunginya.
“Kita akan melatih mereka untuk menjadi jurulatih di akademi ini, kemudian akan menghantar mereka untuk mendapat lesen jurulatih dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia,” katanya.
Mereka yang berusia 20 hingga 25 tahun yang berminat untuk menjadi jurulatih bersama YFA Bintang Muda boleh menghubungi Radha di talian 016-6750081 atau hadir ke mana-mana padang latihan mereka.
YFA Bintang Muda mohon guna padang DBKL
inam kitites at 2:08 PTG