CHERAS - Kesempatan beraksi dengan menyarung jersi Kebangsaan bagi 12 pelatih YFA Bintang Muda merupakan satu pengalaman berharga buat mereka dan juga pengurusan pasukan di Stadium Bola Sepak KLFA Cheras.
Jemputan menyertai Mini Nike Cup 2008 bersempena dengan pelancaran kit baru pasukan Kebangsaan yang akan bertanding di dalam Piala Suzuki AFF di Bangkok dari 5 hingga 28 Disember depan membuktikan bahawa kehadiran mereka di persada bola sepak tanah air mendapat perhatian.
Pengarah Teknikal YFA Bintang Muda, N Radhakrishnan berkata, kesempatan yang diberikan pihak Nike dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu menjadi satu pengalaman yang amat berharga buat pemain-pemainnya.
“Selain itu, pemain turut berpeluang bergandingan bersama bekas-bekas pemain kebangsaan iaitu K Gunalan, Khan Hung Meng dan Amir Hassan juga merupakan satu pengalaman berharga buat mereka,” katanya.
Menurutnya, Mini Nike Cup 2008 tersebut turut memberi peluang empat pasukan sekitar Lembah Klang mendapat pengalaman berharga.
“Secara tidak langsung Nike memberikan peluang kepada pelatih-pelatih dari YFA Bintang Muda, Arsenal Soccer School, Kelab Komuniti Subang Jaya serta Akademi Nur Nilam ini beraksi dalam kejohanan dan suasana yang meriah," katanya.
Pertandingan yang diadakan secara kalah mati itu menyaksikan pasukan YFA Bintang Muda mara ke peringkat akhir setelah berjaya menewaskan Akademi Nur Nilam pada perlawanan pertama.
Perlawanan akhir menemukan YFA Bintang Muda dengan Subang Jaya FC yang berjaya menewaskan Arsenal Soccer School.
Turut hadir, Timbalan Presiden FAM, Datuk Redzuan Sheikh Ahmad, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad dan jurulatih kebangsaan, B Sathianathan.
Pengalaman berharga buat pemain dan jurulatih
inam kitites at 2:06 PTG