30.1.09
SEREMBAN- Seramai 31 pemain bola sepak Negeri Sembilan yang kini beraksi dalam Liga Super menyertai Skim Pembayaran Zakat Pendapatan melalui potongan gaji bulanan.

Setiausaha Eksekutif Persatuan Bola sepak Negeri Sembilan, Ibrahim Shamsudin berkata, kempen yang dilakukan oleh Pusat Zakat Negeri Sembilan (PZNS) satu usaha yang baik menyebarkan kesedaran membayar zakat kepada segenap lapisan masyarakat termasuk ahli-ahli sukan di negeri ini.

Menurutnya, usaha ini perlu dilakukan bagi menimbulkan kesedaran menunaikan zakat kepada masyarakat di negeri ini agar semua umat Islam yang berkelayakan tampil menunaikan zakat.

“Saya menyokong usaha yang dilaksanakan oleh PZNS ini supaya menggalakkan masyarakat tidak mengira lapisan termasuk ahli-ahli sukan menunaikan tanggungjawab mereka sebagai umat Islam,” katanya.

Ketua Unit Perhubungan Awam dan Promosi Khas PZNS, Zaharim Kusinni berkata, PZNS menerima potongan bulanan sebanyak RM2,212 atau perolehan sebanyak RM26,544 setahun.

Beliau berkata, kempen kepada penggiat sukan amat berpatutan kerana selain mengharumkan nama negeri, mereka dapat beribadat secara umum kepada masyarakat.

Antara barisan pemain yang menunaikan zakat pendapatan secara bulanan adalah pasangan kembar Aidil Zakuan Razak dan Zakuan Adha Razak, Rezal Zambery Yahya, Mohd Farizal Harun, Abdul Rahman Zabul dan Tengku Qayyum Ubaidillah.
Sinar Harian

Label:


inam kitites at 12:42 PTG |

0 Comments: