30.1.09
SHAH ALAM – Saingan Piala FA 2009 bakal menyaksikan perlawanan pertama, pusingan pertama skuad Kuala Lumpur bertemu Sabah di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras jam 8.45 malam esok.

Jurulatih Kuala Lumpur, Razip Ismail berkata, dia tidak mahu meletakkan harapan terlalu tinggi namun menuntut agar anak buahnya menampilkan persembahan bersemangat dan bertenaga ketika memulakan kempen Piala FA musim ini.

“Semua pemain bebas daripada sebarang kecederaan dan kita sudah bersedia untuk perlawanan pertama ini.

“Saya tidak mahu meletakkan harapan yang terlalu tinggi namun kita harap skuad KL mampu melangkah dengan lebih jauh dan mempamerkan aksi yang lebih baik Sabtu ini.

Katanya, pasukannya juga turut mengadakan beberapa perlawanan persahabatan sebelum ini sebagai medan pemanas badan dan menguji pemain-pemain baru dan muda skuadnya musim ini.

“Baru-baru ini kita telah mengadakan perlawanan persahabatan dengan Polis dan kita mencatat keputusan seri satu sama di Stadium Cheras, baru-baru ini.

“Bagi saya masih banyak yang perlu diperbaiki dan dipertajam lagi terutama pemain-pemain bawah 20 tahun yang masih mentah dan kurang pengalaman selain di bahagian serangan yang dilihat sedikit tumpul berbanding bahagian lain,” katanya.

Menurutnya, pada perlawanan malam tersebut juga, pihak pengurusan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (PBKL) turut akan mengadakan kutipan derma di kalangan penonton untuk mengumpulkan dana bagi disalurkan kepada rakyat Palestin.

“Selain menonton perlawanan tersebut kita juga dapat beramal dengan menyumbang dana kepada rakyat Palestin dengan menyumbang pada malam tersebut.

“Di harap penyokong dan penonton dapat hadir dan memberi sokongan kepada pasukan masing-masing,” katanya.

Menurutnya, dia juga bertekad untuk memperbaiki kedudukan mereka di tangga ke-12 Liga Perdana musim lalu ke kedudukan lebih baik musim ini.

Katanya, tugas tersebut memang berat untuk dilaksanakan tetapi mereka akan cuba sedaya upaya bagi menaikkan semula maruah skuad warga kota itu.
Sinar Harian

Label: ,


inam kitites at 12:43 PTG |

0 Comments: