25.11.08
KOTA BHARU – Kelantan akan terus mengamalkan corak menyerang pada perlawanan separuh akhir kedua dengan pa-sukan Perlis di Kangar, walaupun sudah mempunyai bekalan selesa 3-0.

Ketua jurulatih Piala Emas Raja-Raja, Anizam Daud berkata, pemain diingatkan supaya melakukan aksi terbaik bagi memastikan impian ke perlawanan akhir tercapai.

Katanya, pemain juga tidak harus leka dan dibuai mimpi indah walaupun sudah mempunyai bekalan 3-0 yang diperoleh ketika perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV kelmarin.

“Mereka harus lebih fokus dan matang ketika berdepan dengan pemain lawan selain tidak melakukan kesilapan yang boleh menghasilkan gol.

“Kita tidak akan mengamalkan corak bertahan walaupun sudah mempunyai 3-0 secara agregat kerana apa sahaja boleh berlaku.

“Kita mahu bahagian tengah memainkan peranan untuk menyekat kemaraan pemain lawan,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Kelantan akan bertandang ke Perlis bagi pertemuan kedua separuh akhir hujung bulan ini.

Pasukan itu layak ke peringkat separuh akhir selepas menundukkan Selangor 7-3 sebelum ini.

Anizam yakin pemain dapat melaksanakan tanggungjawab mereka sebaik mungkin dengan iringan doa peminat dan penyokong Kelantan.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada penyokong yang banyak memberi inspirasi kepada pemain selama ini.

“Saya hargainya dan tanpa peminat tidak mungkin kita mampu layak hingga tahap ini,” katanya
Laporan penuh Sinar Harian (kelantan)

Label: , ,


inam kitites at 11:57 PG |

0 Comments: