Setiausaha Kelab Bola Sepak PNSB FC, Mohamad Nizam Yaacob berkata, kejohanan ini adalah satu usaha untuk merapatkan silaturahim di antara pemain dan juga pegawai akademi melalui perlawanan persahabatan.
“Akademi PNSB telah memasuki tahun ketiga penubuhannya jadi kita merancang mengadakan perlawanan jemputan ini sebagai medan untuk menguji kekuatan pemain.
“Di samping itu, ia juga diadakan bagi meraikan kedatangan Kedah Kenari Kids Hicom Honda yang sanggup datang dari jauh untuk sama-sama memeriahkan perlawanan ini," katanya.
Menurutnya, selepas ini, pihaknya akan menganjurkan perlawanan seperti ini atau berkunjung ke Kedah bagi menjalinkan hubungan dengan akademi dan kelab bola sepak yang lain.
“Selepas ini, mungkin kita akan lebih menganjurkan perlawanan seperti ini atau berkunjung ke Kedah pula bagi menjalin hubungan dengan akademi dan kelab-kelab bola sepak yang lain.
“Diharap dengan kejohanan bola sepak ini dapat memberi pendedahan dan mencungkil bakat-bakat muda dalam sukan bola sepak ini," katanya.
Dalam aksi kejohanan yang berlangsung di Stadium Mini, Shah Alam, semalam menyaksikan Akademi PNSB berjaya mendapat tempat kedua dalam kategori bawah 8, 12 dan 16 tahun. Manakala kategori bawah 10 tahun pula mereka sekadar berpuas hati di tempat ketiga.
Namun, keunggulan pasukan dari utara tanah air Kedah Kenari Kids Hicom Honda yang berjaya mengungguli tiga kategori dari empat kategori yang dianjurkan.
Rombongan pemain berumur daripada 6 hingga 14 tahun itu berjaya muncul juara bagi kategori bawah 8,10 dan 12 tahun manakala pasukan dari Taman Dahlia FC pula berjaya mengungguli dalam kategori 16 tahun.
Antara pasukan-pasukan lain yang turut mengambil bahagian pada kejohanan tersebut terdiri daripada Shah Alam FC, TTDI First Touch Academy, Shah Alam FC dan Meba FC.
Diambil terus dari Sinar Harian (Sel&KL)
Kejohanan 4 Penjuru uji prestasi pemain
inam kitites at 3:38 PTG