21.11.08
KUANTAN - Pasukan Anak Alam yang dulu dikenali Cenderawasih, optimis untuk melangkah ke akhir dalam Liga Veteran PASDEC 2008, sekali gus membuktikan kehebatan mereka sebagai antara pelopor pasukan veteran di Kuantan.

Keyakinan itu disuarakan Pengurus yang juga pengasas pasukan, Maulud Awang, 54, mengenai peluang mereka dalam kejohanan itu dengan kemaraan ke suku akhir pada 23 November nanti.

Sebelum itu, Anak Alam berjaya mengalahkan lawan, Along Catering dengan jaringan tipis, 3-2 di padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) Satu di sini, kelmarin.

“Kini, kami menunggu lawan mana bakal ditentang, sama ada KIVAS ataupun Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) hari ini (Rabu), namun kami tidak takut dan yakin untuk beraksi.

“Ini kerana dengan persediaan yang bakal dilakukan dalam latihan hari ini, kami tidak mahu pulang tangan kosong,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas kewujudan pasukan itu, Maulud berkata, ia ditubuhkan lima tahun lalu dan minat mendalamnya terhadap bola sepak membuatkan dirinya sanggup menaja dan menguruskan pasukan itu sejak mula ditubuhkan.

Menurutnya, nama Anak Alam hanya terlintas dalam fikiran dan ia digunakan bermula tahun ini. Bagi memantapkan prestasi, setiap minggu mereka terlibat dengan perlawanan persahabatan.

“Mana-mana pasukan pasti mengalami masalah kecergasan pemain memandangkan dibarisi pemain berusia 40 tahun ke atas untuk menyertai liga itu.

“Setiap pasukan pastinya bersiap sedia untuk memastikan stamina pemain terjaga dan setakat ini, pemain memberikan komitmen tinggi serta tidak memberikan sebarang masalah,” katanya.
Lagi Sinar Harian (pahang)

Label: ,


inam kitites at 5:49 PG |

0 Comments: